Isnin, 28 September 2009

KESEMPURNAAN TAHARAH DAN SOLAT DI TANAH SUCI

Ini pula adalah artikel tentang isu-isu solat dan taharah yang timbul di kalangan jemaah ketika mereka berada di Tanah Suci. Artikel ni tersiar dalam UM tahun 2008 tetapi lupa tarikhnya secara tepat.

WUDUK, TAYAMMUM DAN SOLAT


Isu-isu yang berkaitan dengan wuduk, tayammum dan solat merupakan perkara-perkara penting yang perlu diketahui oleh setiap bakal haji dan hajjah bagi menyempurnakan ibadat mereka ketika di Tanah Suci. Dalam Kursus Haji Bersiri anjuran Lembaga Tabung Haji Malaysia, satu slot khusus tentang topik-topik ini dibentangkan kepada para jemaah kerana ianya masih menjadi kekeliruan dan persoalan pada sebahagian jemaah.


Wuduk

Salah satu daripada syarat sah solat dan tawaf adalah berwuduk. Oleh itu, setiap jemaah haji wajib mengetahui hukum-hakam wuduk seperti fardu-fardunya, syarat-syarat sahnya, sunat-sunatnya dan perkara-perkara yang membatalkannya. Jemaah yang tidak mengetahui perkara-perkara tersebut mengundang risiko solat dan tawafnya menjadi tidak sah. Apabila tawaf tidak sah, maka kesannya ibadat haji dan umrah turut menjadi tidak sah. Ini kerana tawaf adalah salah satu daripada rukun-rukun haji dan umrah. Antara kesilapan yang dapat dikesan tentang kesilapan berwuduk di kalangan jemaah adalah membasuh muka dengan tidak sempurna, iaitu hanya membasuh bahagian depan muka sahaja, tidak diratai keseluruh bahagian muka. Sedangkan batasan muka yang wajib dibasuh adalah dari tempat tumbuh rambut di sebelah atas sehingga sampai kedua tulang dagu sebelah bawah dan lintangannya adalah dari anak telinga hingga ke anak telinga yang satu lagi.


Penyakit selalu berhadath

Dalam beberapa kes, terdapat jemaah yang selalu berhadath atau sentiasa berada dalam keadaan kotor seperti mengidap penyakit kencing yang sentiasa menitis, luka atau bisul yang sentiasa mengalir, istihadah, buasir dan batuk lalu terkencing. Jemaah berkenaan perlu mengetahui beberapa hukum-hakam yang berkaitan dengan diri mereka. Beberapa peraturan dan panduan perlu diikuti apabila mahu melakukan solat dan tawaf :
i- Apabila masuk waktu solat, hendaklah membersihkan kotoran. Kemudian membalut tempat berkenaan dengan kemas, seterusnya berwuduk dan segera menunaikan solat.
ii- Kadar segera yang dimaksudkan ini tidak termasuk persediaan untuk solat seperti menutup aurat, perjalanan ke masjid, menunggu jemaah, menunggu iqamah dan penentuan arah kiblat. Tetapi bukan kerana makan, berbual dan seumpamanya.
iii- Setiap kali hendak berwuduk, wajib ditukar balutan (bagi luka atau bisul) atau lampin dan seumpamanya (bagi istihadah, buasir dan kencing yang sentiasa menitis) dengan yang baru.
iv- Cara berniat ketika mengambil wuduk : "Sahaja aku berwuduk untuk mengharuskan solat/tawaf".
v- Setiap kali wuduk hanya untuk satu ibadat fardu sahaja tetapi boleh untuk beberapa ibadat sunat.


Anggota wuduk berbalut atau ditampal dengan simen

Dalam keadaan tertentu, terdapat jemaah yang mengalami kecederaan yang memerlukan sebahagian anggota wuduknya dibalut atau ditampal dengan simen. Balutan dan simen tersebut menghalang air daripada sampai ke kulit. Jika balutan dan tampalan itu pada anggota wuduk, dia hendaklah berwuduk seperti biasa dan hanya menyapu air pada balutan tersebut. Dia digalakkan mengqadakan solat-solatnya setelah dia sembuh. Pandangan ini merupakan pendapat kedua dalam Mazhab Syafie dan telah diterima pada Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-20.


Dalam kes yang lain pula, terdapat jemaah yang terlantar di hospital yang langsung tidak dapat bergerak. Apabila masuk waktu solat, dia tidak dapat memperolehi bantuan daripada petugas hospital untuk membantunya berwuduk. Maka dalam keadaan ini, selama mana dia masih lagi ada akal, dia tetap wajib menunaikan solat walaupun tanpa berwuduk sebagai menghormati waktu. Solat-solat yang dilakukan dalam keadaan tersebut wajib diqada selepas dia sembuh.


Isu batal wuduk melalui sentuhan kulit
Antara isu yang sering menjadi keresahan di kalangan jemaah adalah masalah batal wuduk apabila berlaku persentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram terutama sekali ketika tawaf. Permasalahan ini telah diatasi apabila Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-21 telah memutuskan supaya jemaah beralih daripada pendapat yang masyhur dalam Mazhab Syafie kepada pendapat marjuh. Pendapat marjuh ini mengatakan bahawa tidak batal wuduk jika berlaku persentuhan kulit antara lelaki dan perempuan tanpa syahwat. Ini bermakna jemaah boleh meneruskan tawaf walaupun berlaku persentuhan kulit antara lelaki dan perempuan tanpa membatalkan wuduk. Ruang lingkup pendapat marjuh ini boleh diperluaskan pengunaannya bermula dari tempat penginapan (di Makkah sahaja) seterusnya hingga ketika di dalam Masjidil Haram. Perkara ini juga boleh digunapakai ketika berada dalam keadaan masyaqqah (kesulitan) seperti menaiki pesawat atau bas sepanjang tempoh mengerjakan haji (kes ini boleh dipakai ketika berada di Makkah dan Madinah). Namun perlu diingatkan bahawa pendapat ini sah digunapakai untuk tawaf dan sebagainya selagi wuduk tidak terbatal mengikut Mazhab Syafie seperti keluar sesuatu daripada qubul dan dubur.


Solat di Tanah Suci

Dalam kes-kes yang berkaitan dengan solat pula, terdapat kekeliruan di kalangan jemaah tentang kelebihan solat di Masjid Haram di Makkah dan di Masjid Nabi s.aw di Madinah. Tersebut di dalam hadith bahawa pahala menunaikan solat di Masjid Haram adalah 100,000 kali ganda, manakala di Masjid Nabi s.a.w adalah 1000 kali ganda. Menurut pendapat jumhur ulama, kelebihan solat di Masjdil Haram di Makkah itu merangkumi keseluruhan Tanah Haram Makkah. Manakala kelebihan solat di Masjid Nabi itu hanya terbatas di masjid itu sahaja. Ini tidaklah bermakna jemaah yang berada di Makkah boleh bersikap malas dengan menunaikan solat di hotel mereka sahaja. Ini kerana solat di Masjid Haram itu sendiri mempunyai kelebihan lain dari sudut jemaahnya yang lebih ramai di samping boleh memandang ke arah Kaabah yang merupakan satu ibadat.


Ada pula di kalangan jemaah yang terkeliru dengan kedudukan lima waktu haram yang tidak dibenarkan solat di dalamnya. Lima waktu tersebut adalah seperti berikut:
1. Selepas sembahyang Subuh hingga terbit matahari.
2. Semasa naik matahari hingga kadar ramh, iaitu lebih kurang satu pertiga jam selepas naiknya matahari.
3. Waktu matahari tegak (rembang) sehingga matahari tergelincir (masuk waktu Zuhur).
4. Selepas sembahyang Asar hingga terbenam matahari.
5. Waktu matahari kekuningan sehingga terbenam.


Tegahan untuk melakukan solat pada waktu-waktu ini bukanlah secara mutlak, tetapi khusus pada jenis solat tertentu sahaja, iaitu:
1. Semua solat yang tidak ada sebab untuk melakukannya pada waktu-waktu itu seperti sembahyang sunat mutlaq dan sembahyang sunat tasbih.
2. Solat yang sebab melakukannya terkemudian seperti sunat ihram dan istikharah.


Semua solat ini jika dilakukan pada waktu-waktu tersebut hukumnya makruh tahrim yang sangat ditegah dan solat itu juga menjadi batal. Namun terdapat pengecualian beberapa solat tertentu iaitu:
1. Solat yang mempunyai sebab untuk melakukannya seperti sembahyang yang telah luput (qada), jenazah, nazar, sunat wuduk dan tahiyyatul masjid.
2. Solat yang mempunyai sebab yang seiringan dengan waktu itu seperti sembahyang gerhana dan minta hujan.
3. Solat Jumaat ketika matahari tegak.
4. Solat di Tanah Haram Makkah kerana kelebihan solat itu sendiri.


Perlu diingatkan di sini bahawa Masjid Tan'im adalah berada di luar daripada kawasan Tanah Haram Makkah. Maka jemaah yang pergi ke sana untuk berniat umrah tidak boleh menunaikan solat sunat ihram jika dia berada ketika itu dalam salah satu daripada waktu haram tersebut. Seperkara lagi, Tanah Haram Madinah tidak mempunyai kelebihan seperti Tanah Haram Makkah dalam masalah ini. Kedudukan Tanah Haram Madinah sama dengan tempat-tempat lain.


Bagi jemaah yang berulang alik antara penginapannya dengan Masjid Haram Makkah, dia mempunyai pilihan sama ada melakukan solat tahiyyatul masjid atau tawaf tahiyyatul bait ketika masuk ke dalamnya. Jika dia mahu melakukan tawaf tahiyyatul bait, maka sunnahnya dia berbuat demikian. Sekiranya dia melakukan solat sunat tawaf selepas itu, dia turut mendapat pahala sunat solat tahiyyatul masjid. Jika dia tidak mahu melakukan tawaf tahiyyatul bait, maka lakukanlah solat sunat tahiyyatul masjid.


Dalam keadaan bersesak-sesak terutama sekali di Masjid Haram Makkah, jemaah terpaksa melakukan solat dalam keadaan bersempit sehingga tidak mempunyai ruang untuk rukuk atau sujud. Maka dalam keadaan ini, solat tersebut perlu diulang semula. Jemaah juga diingatkan supaya tidak menunaikan solat bersebelahan pasangan masing-masing atau berlainan jantina ketika berada di Masjid Haram Makkah.


Kadang-kadang ketika melakukan tawaf, tiba-tiba muazzin menyeru untuk ditunaikan solat jenazah. Maka dalam masalah ini adalah afdal jemaah meneruskan tawaf jika tawafnya itu tawaf wajib. Jika tawafnya itu tawaf sunat, adalah afdal dia turut sama menunaikan solat jenazah.


Islam mengharuskan jemaah wanita pergi ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah dengan syarat-syarat yang tertentu. Walaupun ada keharusan ini, dalam suasana terlalu sesak, adalah lebih baik mereka berada di penginapan mereka. Ini bertujuan menjamin kehormatan dan keselamatan mereka semasa berada di Makkah. Mereka juga dilarang berada dalam saf lelaki ketika solat. Berhubung dengan solat Jumaat pula, wanita tidak diwajibkan menunaikannya. Jika solat Jumaat dilakukan, maka solat Zohor tidak perlu lagi ditunaikan. Walaubagaimanapun adalah afdal bagi wanita mengerjakan solat zohor.


Solat jamak


Jemaah juga perlu mengetahui hukum-hakam menunaikan solat jamak dan qasar. Ini kerana ia dapat memudahkan banyak urusan mereka semasa dalam perjalanan, juga ketika menunaikan ibadat haji di Tanah Suci nanti. Antara isu-isu yang sering berlaku berkaitan dengan perkara ini adalah seperti berikut:


1- Ketika dalam pesawat, jika sekiranya masuk waktu solat dan solat tersebut boleh dijamak dengan solat yang kedua apabila sampai di lapangan kapal terbang, maka solat tersebut hendaklah ditangguh dan ditunaikan secara jamak ta'khir. Jika solat tersebut tidak boleh dijamakkan seperti solat subuh, maka jemaah tetap wajib menunaikan solat tersebut dalam pesawat walaupun dalam keadaan tidak bersuci (tanpa wuduk dan tayammum) kerana menghormati waktu, iaitu dengan isyarat sahaja seolah-olah berada dalam keadaan tidak dapat bergerak seperti mana orang yang terikat pada pokok. Apabila sampai di destinasi, hendaklah diqada solat Subuh tadi kerana waktu subuh kebiasaannya sudah habis apabila pesawat mendarat di lapangan kapal terbang.


2- Jemaah tidak lagi boleh melaksanakan solat secara jamak dan qasar setelah sampai di Tanah Suci Makkah atau Madinah, sekiranya jumlah hari ia akan tinggal di situ melebihi tempoh yang mengharuskan jamak dan qasar.


3- Jemaah haji yang dijangka bertolak ke Arafah selepas Isyak dan telah masuk waktu solat seperti Maghrib ketika menunggu bas, hendaklah menunaikan solat fardu tersebut di penginapan mereka. Mereka tidak dibenarkan melakukan solat jamak taqdim.


4- Jemaah haji yang bertolak ke Arafah selepas Asar dan terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas sehingga tamat waktu Maghrib, dibenarkan untuk melakukan solat jamak ta'khir tanpa qasar (Maghrib dan Isyak) ketika sampai di Arafah.


5- Jemaah haji yang berada di tepi jalan untuk menunggu bas ke Arafah dan mempunyai masyaqqah (kesulitan) untuk kembali ke bilik penginapan untuk mengambil wuduk kerana kesesakan dan dibimbangi bas akan tiba bila-bila masa, mereka dibenarkan melaksanakan solat secara jamak ta'khir tanpa qasar (Maghrib dan Isyak) ketika sampai di Arafah. Bagi jemaah yang masih berada di dalam bilik penginapan hendaklah menunaikan solat secara biasa apabila telah masuk waktu solat.


6- Bagi jemaah yang keluar ke Arafah sekitar jam 2 petang dan dibimbangi terlepas waktu solat Asar kerana terperangkap dalam kesesakan hendaklah mengerjakan solat Asar tersebut dalam bas kerana menghormati waktu apabila masuk waktu kerana dibimbangi terlepas waktu Asar sebelum sampai ke Arafah. Apabila sampai di Arafah, jika waktu Asar masih ada, wajiblah sembahyang berkenaan diulangi semula. Jika sudah habis waktu, wajiblah sembahyang berkenaan diqadakan.


7- Jemaah diharuskan menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara jamak ta'khir tanpa qasar di Muzadalifah jika mereka bertolak pada waktu Maghrib dari Arafah.


8- Jemaah juga dibenarkan melakukan solat jamak tanpa qasar sepanjang mereka berada di Arafah dan Mina.


9- Kadang-kadang hari Jumaat jatuh pada ketika jemaah sedang berada sama ada di Arafah, Muzdalifah dan Mina. Dalam keadaan ini mereka tidak diwajibkan menunaikan solat Jumaat.


Inilah sebahagian daripada isu-isu penting yang berkaitan dengan wuduk, tayammum dan solat yang perlu diketahui oleh bakal haji dan hajjah supaya mereka dapat melakukan ibadat mereka dengan sempurna ketika berada di Tanah Suci nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan